Luahan hatiku

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum semua. Saya mendoakan semua berada dalam keadaan sihat-sihat sahaja.
        
        Ramai yang bertanya kepadaku. Kenapa tidak pulang ke rumah pada hujung minggu? Rumah aku dan kolej agak jauh juga sebenarnya. Makan masa 3 jam juga perjalanannya. Tetapi, ada juga sebab-sebab lain kenapa aku tak selalu balik. Aku hanya balik sekiranya cuti lama seperti seminggu. Sekiranya aku selalu pulang, aku rasa fokus aku terhadap pelajaran akan berkurang. Hal ini kerana setiap minggu aku akan memikirkan rumahku sahaja. Sedangkan aku jarang balik pun aku akan mengira hari untuk pulang, apatah lagi jika selalu pulang. Aku hendak pulang, bukannya tak nak . Tetapi aku perlu fokus dengan tujuan aku dihantar ke UKM. Bukan untuk bersuka ria (walaupun aku kerap tengok wayang dengan kawan-kawan) hahaha.

        Sebab lainnya ialah aku cepat rindu akan sesuatu terutama ibuku. Orang yang paling rapat dalam keluargaku adalah ibuku sendiri. Ibu mana yang tak sayang anak. Ketika aku pulang, ibuku akan tidur di bilikku. Hal ini kerana dia begitu rindu akan diriku. Begitu juga aku. Jika aku selalu pulang ke rumah, dan sudah tiba waktunya untuk pulang ke UKM, aku rasa berat hati untuk meninggalkan ibuku. Aku akan teringat-ingat ibuku walaupun aku sudah tiba di UKM. Kadang-kadang aku sampai teringatkan apa yang diperkatakan oleh ibuku kepadaku semalam. Yang lebih sedih lagi apabila ibuku berkata "Nanti dah habis belajar, kumpul duit pastu kahwin, ingat mama lagi ke tak." Ayat ini membuatku sebak. Seakan-akan aku akan melupakan ibuku. Nauzubillahiminzalik. Aku tidak mahu menjadi seorang anak yang derhaka. Aku sayang sangat ibuku. Dia adalah seorang insan yang tak pernah berkira denganku. Dia akan mengunakan duitnya demi keperluanku melebihi keperluannya hanya semata-mata untuk melihat aku berjaya dan bahagia. Aku selalu sedar, pada waktu makan, ibuku tidak akan mengusik ayam sekiranya ayam yang dimasaknya tidak cukup untuk anak-anaknya. Dia hanya makan roti sahaja dengan alasan tak ada selera makan. Aku sedar perkara itu namun aku tidak boleh memaksa ibuku makan. Sesungguhnya pengorbanan seorang ibu sangatlah besar. Begitu juga bapaku, dia banyak berkorban demi keluarga. Bapaku adalah seorang pesara polis.


                       

        Aku masih teringat lagi satu peristiwa ketika aku kecil yang akan membuatkan aku menangis sekiranya teringat kembali walaupun umurku sudah 20 tahun. Aku terdengar perbualan antara ibuku dan seseorang. Aku tak ingat siapakah seseorang itu. Mungkin bapaku, atau pun doktor. Isi perbualan tersebut ada terkandung bahawa ibuku menghidap batu karang. Aku terdengar dan aku asyik terfikirkan hal tersebut. Aku terfikir, adakah ibuku akan mati? Persoalan itu berlegar-legar di mindaku. Pada satu ketika, ketika hanya ada aku dan ibuku, aku duduk di atas kerusi jahit ibuku. Ibuku sedang menjahit di lantai. Mungkin kerana dia lebih selesa duduk di bawah kerana sedang menjahit baju menggunakan tangan. Aku pun memulakan perbualan dengan bertanyakan "Mama, batu karang tu apa?" Ibuku pun menerangkan tentang batu karang. Kemudian, aku pun membelakangkan kerusi daripada ibuku dan menangis. Ibuku yang seakan-akan tahu apa yang ada dalam fikiranku terus menarik dan menjatuhkan kerusi tersebut dan memelukku. Dia seolah-olah tahu yang aku sudah terdengar perbualan sebelumnya. Dia pun berkata, "Takde lah, mama akan jaga adik sampai bila-bila". Perkataan itu lah yang memujuk hatiku dan perkataan itu lah yang terindah bagiku. Alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana dengan kasih dan kurnianya, aku dapat membesar bersama ibuku serta bapaku sehingga ke hari ini. Kadang-kadang sedih jugak sebab duduk jauh daripada ibu bapaku. Takut ada apa-apa terjadi. Semoga Allah melindungi kita semua daripada bala bencana terutama ibu bapaku.

p.s. : Aku terpaksa menutup blog ini beberapa kali dan menyambung semula taip kerana sebak mengigatkan kisah lalu..

Comments

Popular Posts